Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku_Intan_Shafinaz

Pada 13 Disember 2011, Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz dilantik sebagai Ahli Jemaah Pemangku Sultan. Perlantikkan ini adalah seperti yang termaktub dalam undang-undang Majlis Mengangkat Raja kerana Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah sudah uzur dan tidak mampu menjalankan tugas sehari-harian sebagai Pemangku Raja.[1]

Tuanku Puteri telah dilantik bersama-sama tiga ayahanda saudaranya dari kerabat damping diraja Kedah antaranya ialah Tunku Temenggong Kedah, Tunku Salehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah, Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Anuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Yang Dipertua Majlis Jemaah dalam istiadat di hadapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah Haminah yang berlangsung di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit.[8][9]

Istiadat dimulakan dengan keberangkatan Tuanku Sultan Kedah dan Tuanku Sultanah Kedah ke Balai Penghadapan dengan diiringi pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar Pedang dan Lembing. Turut sama juru iring tentera dan juga polis dengan didahului oleh Ketua Istiadat Dato’ Bijaya Indera Dato’ Syed Unan Mashri bin Syed Abdullah.

Payung-payung istiadat dikembangkan dan nobat dipalu bagi mengiringi keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah bersemayam di atas singgahsana Balai Penghadapan.

Setelah pembawa alat kebesaran mengambil tempat sekali lagi Ketua Istiadat Dato’ Bijaya Indera menghadap KDYMM Tuanku Sultan memohon limpah perkenan memulakan istiadat dengan perarakan masuk Al-Quran, Titah KDYMM Tuanku Sultan, Warkah Pemasyhuran Perisytiharan Jemaah Pemangku Sultan ke Balai Penghadapan.

Kemudian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan berkenan bertitah permasyhuran perisytiharan Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah Darul Aman diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Dato’ Azman Hussain dan Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah Yang Ariff Dato’ Yahaya Jusuh yang turut menandatangani surat sumpah itu.

Seterusnya baginda Sultan berkenan menjemput semua Jemaah Pemangku Sultan Kedah Darul Aman mengambil tempat di Astaka Singgahsana. Selepas itu tembakan meriam sebanyak sembilan das dilepaskan bagi menandakan dan memberi tahu kepada rakyat Negeri Kedah akan pemasyhuran Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Istiadat disudahi dengan bacaan doa oleh Sohibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Badaruddin Haji Ahmad.

Berkaitan